Sebenarnya kurang gemar bercakap tentang soal hati, soal perasaan, soal cinta…


Dulu rasa tak cool. Kemudian rasa segan pun ada. Kalau cerita hati orang lain boleh dengar. Tapi cerita sendiri tidak ada. Atau lebih tepat tidak terluah. Sehingga disangka orang sekeliling bahawa diri ini tidak berperasaan. Adakah patut begitu? Siapa yang tiada perasaan? Semua manusia ada perasaan. Cuma ada yang mempamerkan. Dan ada yang lebih suka untuk simpan dan diam.


Namun diam tidak bermakna tiada. Cuma tidak bercerita dengan orang lain. Bercerita hanya dengan diri sendiri. Dan cerita-cerita nampaknya semakin banyak kebelakangan ini. Apakah???


Satu bukti bahawa diri juga seperti orang lain (senyum sendiri). Normal. Namun apa yang tidak normal –bagi diri sendiri- apabila ia seperti menjadi sebuah isu yang tidak dapat diselesaikan. Maksudnya?


Ceritanya begini. Bila berlaku kisah jatuh hati, maka akan ada seorang yang jatuh hati kepada seorang lagi. Walaupun yang jatuh hati tidak mahu jatuh hati sebenarnya. Tapi jatuh jugak. Kalau barang jatuh, boleh kutip balik. Tapi bila hati yang jatuh, seumpama batu yang jatuh dalam telaga yang dalam. Macam mana nak kutip balik tu? Dan seorang lagi tidak tahu menahu. Iya lah, dia hanya buat kerja sendiri, tiada percubaan untuk buat orang jatuh hati pada dia, mana lah dia tahu akan berlaku macam tu. Jadi orang ni kita boleh abaikan dalam cerita kita. Yang penting adalah orang yang jatuh hati tu. Macam mana nak buat?


Mungkin ada yang mencadangkan agar luahkan sahaja kepada yang seorang lagi. Pelbagai cara, sama ada direct approach atau guna medium. Yang penting luahkan. Lagipun apa salahnya. Orangnya baik. Rugi juga kalau tak cuba. Mungkin tidak akan bertemu lagi yang sebaik itu. Pendek kata, banyak sebab yang menyokong untuk menzahirkan apa yang dirasa.


Diri pula sentiasa berharap agar perasaan ini dibalas. Manalah tahu, walau belum luah, tiba-tiba keajaiban berlaku. Rupanya perasaan berbalas. Oh indahnya…


Tapi kan…


Itu kah sebenarnya? Ya mungkin, dengan diri yang sebegini, umur, keluarga dan keadaan, mungkin sudah tiba masanya. Mungkin. Namun jauh di sudut hati, terasa bahawa mungkin ada perkara lain yang patut diberi perhatian dengan kisah jatuh hati ini.


Adakah jatuh hatiku dengan manusia akan membuatkanku lebih ingat dan hampir kepada pencipta manusia itu? Pencipta perasaan itu? Pencipta hati itu?
Adakah aku menjadi terbuai-buai dengan perasaan, seronok sendiri (walhal belum pun lagi luahkan) sehingga aku menjadi lalai? Lupa dengan perkara yang lebih penting?


Tiba-tiba diri menjadi risau. Jikalau hanya dengan jatuh hati yang tidak sengaja, sudah banyak kesalahan, bagaimana nanti? Adakah hubungan, hatta halal di sisi syariat, akan menjadi sesuatu yang diberkati?


Allah swt benarkan ini terjadi. Mesti ada sebabnya. Mesti ada hikmahnya. Mungkin Allah swt mahu agar diri ini fokus pada diri sendiri, bukan kepada seorang lagi. Fokus pada diri yang masih banyak lubang dan kekurangan. Bagaimana mahu ditampal lubang-lubang itu? Bagaimana akan dibaiki kekurangan-kekurangan itu?


Allah swt tahu apa yang terbaik. Tiada perlu terkilan. Lepaskan perasaan itu. Berharaplah dengan Allah swt.  Kalau memang dari awal lagi bukan, maka bukanlah. Kalau sememangnya sudak ditakdirkan, maka tidak mungkin dapat dielak. Yang penting, sentiasa berusaha memperbaiki diri. Kerana ianya satu proses yang tidak pernah selesai. Sehingga akhir hayat. 


Ada perkara yang berada dalam ruang lingkup kemampuan kita. Ada yang luar dari batas itu. Ada yang kita memang tak mampun nak berbuat apa-apa. Nak buat macam mana, dah jatuh hati. Tapi kita boleh pilih untuk melayan perasaan itu atau berusaha agar ianya tidak membawa kepada kelalaian. 


Berdoa kepada Allah swt sepenuh hati. Dia yang mengatur hidup hamba-hambaNya. Berusaha dan bertawakal. Dan percaya. Sepenuh hati.   

Hati yang sukar difahami...hatta hati sendiri...


0 comments:

Post a Comment