(Sumber)
Ada waktu-waktu
tertentu kita akan tiba-tiba dapat semangat untuk berbuat baik. Mungkin selepas
mendengar ceramah, membaca artikel di blog, atau mendapat peringatan dari post
FB. Kita menjadi rajin untuk beribadah, untuk solat dengan lebih kusyuk, untuk
berdoa lebih panjang mengadu dengan Allah, untuk solat nawafil, untuk
bertahajjud, untuk membaca Quran beserta terjemahan dengan lebih istiqamah,
untuk puasa sunat Isnin dan Khamis. Kita berasa sangat bahagia dengan itu
semua, dan kita turut mahu mereka yang di sekeliling kita merasai apa yang kita
rasa. Bahkan kita menjadi tidak suka bila melihat rakan-rakan atau ahli
keluarga menonton kotak bising sambil ketawa, tanpa menghiraukan azan yang
telah berkumandang.
Alangkah indahnya.
Namun, mengapa tidak
bertahan lama?
Tiba-tiba kita juga
turut bersama menonton kotak bising, dan menunggu lagi 10 minit sehingga siaran
berakhir untuk solat, Kita jadi lalai dengan FB, kita mendengar kembali
lagu-lagu yang tiada menambah iman, kita bersembang-sembang tentang perkara
yang tidak membawa sebarang faedah, menangguh sehingga Rejab atau Syaaban untuk
menggantikan puasa wajib, membaca Quran hanya sekali-sekali dan sekejap sahaja.
Kemudian datang detik
keinsafan dan kita kembali berbuat baik. Segera memadam semua koleksi
cerita-cerita yang dimuat turun dari hardisk.
Kemudian kembali
mengumpulkan cerita-cerita baru dan menghabiskan masa menonton.
Soalan pada diri:
Apakah aku sebenarnya? Selama buat baik tidak ikhlaskah? Allah tidak terimakah
amalan-amalan baik itu? Kenapa kembali kepada kelalaian? Kenapa kembali ke
perkara yang sama? Orang kata orang Mukmin tidak akan jatuh ke lubang yang
sama. Tapi diri ini sudah berkali-kali jatuh di tempat yang sama. Apakah???
Seakan putus asa.
Sangat kecewa dengan diri yang sentiasa kalah dengan nafsu dan syaitan.
Jangan begitu, wahai
diri. Bukankah Tuhanmu telah berpesan,
“Apakah manusia
mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah
beriman,’ dan mereka tidak diuji?” (29: 2)
Mungkin Tuhanmu sayang
padamu dan Dia mahu lihat kau cuba berkali-kali. Mungkin Dia mahu lihat apakah
kau bersungguh-sungguh berubah. Mungkin setiap kali kau berubah antara baik dan
tidak, masa kau lebih baik dengan amalanmu semakin panjang tempohnya, dan
bentuk amalanmu semakin meningkat baik, dan masa lalaimu semakin pendek, dan
perkara yang tidak berfaeah yang kau lakukan semakin berkurang.
Yang penting kau cuba
sedaya upaya. Banyakkan masa kebaikan dengan bersungguh-sungguh.
“Dan berjihadlah kamu
di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan
Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama…” (22: 78)
Nah, Allah sendiri telah
menjanjikan bahawa tiada kesukara untukmu. Apa lagi yang kau tidak berpuas
hati? Berusahalah bersungguh-sungguh. Biar kau jatuh dan jatuh, teruskan bangun
berkali-kali. Biar luka jatuhmu menjadikan kau lebih berhati-hati. Mungkin
dengan itu jatuhmu yang akan datang lukanya kurang dan kau dapat bangun dengan
lebih tegap dan bersemangat.
Benar, iman itu naik
dan turun. Tetapi kita jangan lihatnya dengan naik dan turun yang statik. Naik
semata-mata naik, dan turun semata-mata turun. Lihatlah ia sebagai satu proses
yang panjang dan dinamik. Naiknya semakin naik, dan turunnya semakin kurang dan
sedikit.
Ia satu perjalanan
panjang. Yakin pada yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.


0 comments:
Post a Comment