Ada waktu-waktu tertentu kita akan tiba-tiba dapat semangat untuk berbuat baik. Mungkin selepas mendengar ceramah, membaca artikel di blog, atau mendapat peringatan dari post FB. Kita menjadi rajin untuk beribadah, untuk solat dengan lebih kusyuk, untuk berdoa lebih panjang mengadu dengan Allah, untuk solat nawafil, untuk bertahajjud, untuk membaca Quran beserta terjemahan dengan lebih istiqamah, untuk puasa sunat Isnin dan Khamis. Kita berasa sangat bahagia dengan itu semua, dan kita turut mahu mereka yang di sekeliling kita merasai apa yang kita rasa. Bahkan kita menjadi tidak suka bila melihat rakan-rakan atau ahli keluarga menonton kotak bising sambil ketawa, tanpa menghiraukan azan yang telah berkumandang.


Alangkah indahnya.


Namun, mengapa tidak bertahan lama?


Tiba-tiba kita juga turut bersama menonton kotak bising, dan menunggu lagi 10 minit sehingga siaran berakhir untuk solat, Kita jadi lalai dengan FB, kita mendengar kembali lagu-lagu yang tiada menambah iman, kita bersembang-sembang tentang perkara yang tidak membawa sebarang faedah, menangguh sehingga Rejab atau Syaaban untuk menggantikan puasa wajib, membaca Quran hanya sekali-sekali dan sekejap sahaja.


Kemudian datang detik keinsafan dan kita kembali berbuat baik. Segera memadam semua koleksi cerita-cerita yang dimuat turun dari hardisk.


Kemudian kembali mengumpulkan cerita-cerita baru dan menghabiskan masa menonton.


Soalan pada diri: Apakah aku sebenarnya? Selama buat baik tidak ikhlaskah? Allah tidak terimakah amalan-amalan baik itu? Kenapa kembali kepada kelalaian? Kenapa kembali ke perkara yang sama? Orang kata orang Mukmin tidak akan jatuh ke lubang yang sama. Tapi diri ini sudah berkali-kali jatuh di tempat yang sama. Apakah???


Seakan putus asa. Sangat kecewa dengan diri yang sentiasa kalah dengan nafsu dan syaitan.


Jangan begitu, wahai diri. Bukankah Tuhanmu telah berpesan,

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ dan mereka tidak diuji?” (29: 2)


Mungkin Tuhanmu sayang padamu dan Dia mahu lihat kau cuba berkali-kali. Mungkin Dia mahu lihat apakah kau bersungguh-sungguh berubah. Mungkin setiap kali kau berubah antara baik dan tidak, masa kau lebih baik dengan amalanmu semakin panjang tempohnya, dan bentuk amalanmu semakin meningkat baik, dan masa lalaimu semakin pendek, dan perkara yang tidak berfaeah yang kau lakukan semakin berkurang.


Yang penting kau cuba sedaya upaya. Banyakkan masa kebaikan dengan bersungguh-sungguh.


“Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama…” (22: 78)


Nah, Allah sendiri telah menjanjikan bahawa tiada kesukara untukmu. Apa lagi yang kau tidak berpuas hati? Berusahalah bersungguh-sungguh. Biar kau jatuh dan jatuh, teruskan bangun berkali-kali. Biar luka jatuhmu menjadikan kau lebih berhati-hati. Mungkin dengan itu jatuhmu yang akan datang lukanya kurang dan kau dapat bangun dengan lebih tegap dan bersemangat.


Benar, iman itu naik dan turun. Tetapi kita jangan lihatnya dengan naik dan turun yang statik. Naik semata-mata naik, dan turun semata-mata turun. Lihatlah ia sebagai satu proses yang panjang dan dinamik. Naiknya semakin naik, dan turunnya semakin kurang dan sedikit.


Ia satu perjalanan panjang. Yakin pada yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.


Study oh study

Kembali bertapa di luar.

Bosan mungkin?

Alahai diri, progres tidak setara mana, dah bosan?

Hari ni (atau malam ni) saya kembali study di ruang tamu. Di situ letaknya meja study serta rak buku. Sudah lama rasanya tidak duduk di atas kerusi plastik merah sambil membaca dan menulis. Jikalau di dalam bilik akan guna meja kecil rendah dan duduk di atas lantai. Penuh bilik dengan buku-buku dan alat tulis. Bilik kecil yang dikongsi dengan dua penghuni lain bukanlah tempat yang ideal untuk menyelerakkan buku-buku yang bukan sidikit.

Kenapa tak study di luar?

Kerana ada kotak bising.

Ahli rumah gemar menonton sambil menghilangkan penat selepas balik kerja.

Kecuali saya yang kurang gemar dengan kotak bising tersebut. Boleh dibilang berapa kali saya petik suis untuk membukanya. Untuk tutup adalah, heheh.

Berita banyak yang menjengkelkan.

Drama-drama bohong hanya semakin bertambah mengarut.

Rancangan bermafaat jarang dapat ditemui.

Ada juga waktu-waktu di mana ruang tamu sunyi sepi bilamana semua ahli rumah berada di dalam bilik masing-masing. Tiada rancangan menarik barangkali malam mini. Bagus juga. Selalunya orang menonton kotak bising itu bukan sekadar dengan mata, tetapi dengan mulut juga. Saya yang tidak mengadap kotak bising dan menumpukan kepada laptop sendiri juga turut tahu perkembangan drama kerana analisis yang sedang dijalankan ahli rumah yang lain. Semacam menonton juga.

Saya menonton juga, tetapi apa yang didownload dari internet.

Itu dulu.

Sekarang hampir tiada program itu dalam aktiviti harian saya.

Hiburan yang terlampau banyak boleh membuatkan kita muak. Pengajaran yang didapati dari drama-drama dan filem-filem tidak berbaloi dengan masa yang dihabiskan menonton. Bukan setakat menonton, waktu juga habis apabila analisis dibuat apabila bertemu rakan yang menonton rancangan sama. Habis satu, diikuti yang seterusnya. Sampai bila tidak sudah.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti.

Saya berterima kasih kepada ummi dan abuya yang sedari kecil lebih menggalakkan membaca dari menonton. Apa yang kami lihat di kotak bising itu semuanya dikawal oleh abuya. Kami tidak menonton sendiri. Abuya akan pastikan rancangan itu boleh ditonton dan akan duduk bersama sambil menerangkan “Ini baik. Itu akhlak tidak baik, jangan tiru.” Ada bahagian yang tidak sesuai akan dipercepatkan (jika menonton video atau cd) atau ditukar siaran. Iklan sekalipun. Nilai sudah diterapkan dari awal lagi.

Hingga kini walaupun kami sudah besar, tidak sesuka hati juga kami memetik suis kotak bising itu. Dan memang kami semua tidak lah peduli sangat untuk menonton. Ada orang akan buka juga kotak bising itu, walau sedang buat kerja lain. Sudah menjadi kebiasaannya. Sayang sekali jika ini menjadi habit kita. Bunyi-bunyi iklan yang semakin hari semakin rosak yang bergema dalam rumah kita.

Apapun, saya tidak menafikan ada manfaat dengan kotak bising itu. Cuma mungkin kini mudarat lebih banyak dari manfaat. Terpulang.

Pada masa yang sama saya perlu fikirkan strategi bagaimana untuk mengelakkan kotak bising itu ganggu saya. Saya sudah alihkan meja membelakangi kotak bising. Seterusnya gunakan headfon yang besar mungkin?