gambar bukit, ada apa-apa kaitan?
tak ada, saja-saja nak letak=)

Hari ini penulis tidak ke mana-mana. Selalunya akan ke jabatan. Pelajar biasiswa perlu ke jabatan setiap hari. Begitu pesanan ketua jabatan. Tetapi hari ini terasa nak ambil cuti tak rasmi. Cuti pun tak cuti sangat. Di rumah masih dapat buat kerja dan study. Kadang-kadang lebih baik di rumah. Seorang diri, jadi tak perlu bercakap dengan sesiapa. Sekali-sekala ada perasaan begitu. Tidak mahu berkata apa-apa, hanya mahu diam sahaja. Jika di jabatan susah sedikit, sebab jabatan kami meriah, ada-ada sahaja yang berlaku, dan diri ini mesti nak ikut sama.

Suka berada di jabatan sebenarnya. Dah rasa seperti rumah sendiri dan keluarga sendiri. Ketua jabatan (merangkap supervisor) yang memahami, P.A jabatan yang sentiasa membantu, pensyarah-pensyarah yang mengambil berat, serta rakan-rakan yang baik yang sedang sama-sama bertukus-lumus menyiapkan kajian masing-masing.

Kawan-kawan lain, terutamanya rakan sekolah dulu majoriti sudah bekerja. Ada yang sudah berkeluarga. Corak aturan hidup setiap hari sudah tidak sama seperti dahulu. Penulis sahaja yang masih berkelakuan seperti pelajar. Sudah lama bergelar pelajar sepenuh masa, bila status akan bertukar?
Mungkin belum bersedia untuk tukar. Masih seronok belajar. Masih selesa dengan rutin pelajar.

Tapi tak boleh juga selamanya nak selesa, kan?
Jika sentiasa selesa, hidup tiada perubahan dan kemajuan. Sedar-sedar sudah ketinggalan di belakang. Peluang yang ada di depan mata, gunakan sebaik mungkin. Kesusahan yang datang adalah sebahagian dari proses perjalanan yang panjang.

Walaupun hari ini hanya berada di rumah, jangan buang masa!

Rajin pula nak mula blog baru. Yang sedia ada pun tak ter-update.
Mungkin sebab rasa nak buat blog adalam bahasa Melayu. Yang di The World We Live In, ada juga sekali-sekala tulis dalam B.M, tapi lebih banyak dalam B.I, dan blog itu dikongsi bersama Al-Abidah yang lain.
Oleh kerana sedang rajin seolah-olah tak ada kerja lain, maka diwujudkan sebuah blog baru.

Mula-mula sekali kita sembang tentang nama blog ni: Di Sini, Di Sana, Di Merata-Rata.
Apakah itu?
Mungkin kerana penciptaan blog ini tidak mempunyai tema yang khusus, kerana penulisnya tidak berhasrat untuk fokus kepada perkara tertentu sahaja, tetapi lebih kepada mencatatkan apa yang berlaku, bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Jika di sini mungkin lebih kepada apa yang sedang/telah/akan berlaku kepada penulis sendiri.
Jika di sana mungkin cenderung kepada apa yang sedang berlaku di tempat lain (dan penulis peduli tentang apa yang berlaku)
Jika di merata-rata, apa-apa pun boleh.

Pendek kata, catatan di sini akan pelbagai.
Sebab penulis orangnya begitu.
Di sini, di sana di merata-rata.

Blog ini dicipta pada permulaan tahun 2012.
Tidak kerana tahun baru. Cuma kerajinan untuk memulakan blog baru ini berlaku di awal tahun baru.
Selama ini lebih selesa berbahasa Inggeris apabila menulis. Walaupun tak begitu banyak hasil penulisannya, seperti di Faainatazhabun, Namun rasa perlu ada latihan menulus di dalam bahasa Melayu juga. Jadi di sinilah tempatnya.

Tahun 2012, apakah yang akan berlaku?
Apakah jalan yang kau pilih untuk tahun ini?
Sejauh manakah perjalanan itu?
Apakah yang bakal kau temui sepanjang perjalanan?
Apakah, bilakah, di manakah penghujung itu?

Semasa memulakan tahun 2011 dulu, semua jawapan untuk soalan di atas adalah tidak pasti.
Sekarang soalan yang sama diulang lagi.

Meskipun takdir sudah ditentukan, pilihan masih ada di tangan.
Wahai diri, apakah pilihanmu?


Jalan yang tidak pasti, tetapi tetap wajib dilalui.